LAHAD DATU 6 Feb. - Keunikan dataran lumpur Semenanjung Dent yang mempunyai terumbu karang dan pelbagai jenis rumpai laut bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negeri, tetapi turut menyumbang pendapatan tambahan kepada kira-kira 400 penduduk Kampung Sinakut di sini.
Aktiviti ternakan rumpai laut itu merupakan industri hiliran kecil-kecilan kepada keluarga nelayan itu yang dijadikan sebagai pendapatan tambahan kepada pendapatan hakiki mereka yang bergantung kepada hasil laut.
Seorang penduduk, Jimi Uddin berkata, sebagai nelayan, selain meraih pendapatan harian dengan menangkap ikan mereka kini giat menceburi ternakan rumpai laut.
''Golongan nelayan banyak bergantung kepada sumber laut, selain itu, kami juga mengusahakan ternakan rumpai laut sebagai pendapatan tambahan.
"Walaupun pendapatan yang diperoleh menerusi ternakan rumpai laut tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menambah pendapatan nelayan yang menjalankan projek itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
''Sekurang-kurangnya kami mempunyai pilihan. Jika tidak turun ke laut semasa musim tengkujuh kami boleh mengusahakan ternakan rumpai laut.
''Pencemaran alam sekitar yang berlaku bukan sahaja akan mengakibatkan nelayan kehilangan punca mata pencarian utama tetapi turut menjejaskan hidupan laut," katanya.
Sumber
Sumber Photo : Google
Sumber
Sumber Photo : Google