Wednesday, 11 December 2013

Kenangan yang mengusik perasaan...

…….Mengimbau kenangan setahun lalu, terasa sesuatu yang kosong, berat dan sakit disudut hatiku, airmata pasti bergenang dan jika tak ditahan-tahan pasti tidak segan-silu mengalir..

Pada 10/12/12,  aku balik kampung dengan flight malam, mengambil masa lebih kurang 2jam 20minit dan tiba dirumah sekitar 1pagi pada 11/12/12. Aku sempat berbual sekejap dengan bapa dalam 30 minit selepas beliau terjaga dengan kepulangan kami.

Esoknya 11/12/12, kira-kira dalam 7pagi, Aku bersiap untuk menghantar adik ke klinik untuk normal pregnancy check-up. Bapa pun nak pergi sama, kata dia, kaki kanannya sakit sehingga kehujung jari.

Setiba di klinik daerah, bapa mengatakan yang dia akan meminta kepada Dr. untuk dimasukkan ke hospital dibandar kerana inginkan rawatan yang lebih baik dan boleh cepat sembuh supaya dapat berjalan-jalan dengan kami, anak-anaknya yang balik bercuti hujung tahun. Menurut Dr. bapa terkena jangkitan kuman dibahagian luka kaki dan dalam masa yang sama sakit gout. Beliau dihantar ke hospital di bandar menggunakan ambulance dalam pukul 2petang.

Kami akan datang menyusul selepas adik menjalani satu lagi ujian kandungan gula dalam darah pukul 3petang(adik hanya tunggu hari untuk bersalin dan kandungan gula dalam darah tinggi), sekaligus untuk membawa kelengkapan bapa yang lain.

Bertolak dari rumah pukul 6petang dan sampai di hospital sekitar 7petang.. Semasa tiba di wad, aku melihat seorang HO sedang mengambil tekanan darah bapa bersama seorang MO yang memerhatikan kerja HO tersebut. HO seorang lelaki berbangsa Cina dan mesra orangnya, Manakala MO, seorang wanita melayu bertudung dan kelihatan agak tidak sabar dan tergesa-gesa, mungkin banyak kerja yang harus diselesaikan. Dr. di hospital besar itu mengatakan yang sakit dikaki bapa BUKAN kerana jangkitan kuman tetapi gout yang teruk sehingga keluar nanah yang seakan berbatu beserta darah.

Bapa kelihatan lemah tapi masih ceria menyambut kami sambil dengan gembira mengatakan yang disini, di hospital ini beliau pasti akan cepat sembuh kerana nurse dan doktor sentiasa ada untuk memantau keadaan kesihatannya. Bapa memang begitu dari dulu… bila sakit sahaja, sebolah-boleh ingin berumah di hospital, beliau sangat mempercayai kemampuan Doktor dan Hospital.

Kami meninggalkan bapa selepas mencuri sedikit masa extra lepas lawatan dengan janji esok pagi kami akan datang lagi selepas adik menjalani ujian gula dalam darah.

Pada 12/12/12, seawal 7pagi kami bertolak ke klinik dengan harapan dapat nombor awal dan boleh melawat bapa dengan lebih cepat. Dalam masa menunggu giliran, adik mendapat panggilan telefon dari pihak hospital meminta kami supaya segera datang…Adik bertanya kenapa? The caller just said.. cepat…cepat….cepat… and letak.  Adik menyuruh aku ke sana kerana dia harus menunggu giliran untuk ujian gula. Dari daerah ku ke hospital mengambil masa paling cepat 45minit dan awal pagi begini jalan menuju ke bandar memang sesak dengan kereta.

Aku sampai dalam pukul 10.15pagi.. terus bergegas ke bilik dimana bapa ditempatkan semalam tapi katil kosong, kemas dan rapi.. dengan perasaan yang berkecamuk. Aku menerpa ke kaunter dan nurse kelihatan serba-salah sambil memandang-mandang sekeliling seolah-olah mencari seseorang..

“Dr.. Dr.. ni patient bilik xx punya relative datang..”

Dr. datang bertemu dengan aku…

“Apa hubungan cik dengan pesakit ward xx?”

“Saya anak beliau”

“Siapa nama pesakit ward xx?”

“………..”

Selepas sedikit confirmation… Dr. memberikan penerangan..

“Nama saya Dr. Siew (bukan nama sebenar), saya bukan dari ward Pathology tapi dari ward (aku dah lupa..), saya yang in-charge bapa cik selepas dia dirujuk kepada saya awal pagi ini. Anda tahukan yang luka dikaki bapa cik terkena jangkitan yang SANGAT serius? mengakibatkan jangkitan dalaman yang menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman untuk berfungsi, kami sudah berusaha sedaya-upaya selama lebih dari 3jam tapi kami gagal menyelamatkan bapa cik, kami minta maaf..”

….and I was like… uhhhh… ..……... fikiran buntu  tidak mampu mencerna kata-kata Dr. tersebut.

“maksud Dr., bapa saya sudah tiada? sudah meninggal?”

Dr. sekadar mampu mengangguk dan berkata “kami minta maaf cik, kami sudah cuba yang terbaik untuk menyelamatkan bapa cik.”

“Dimana bapa saya sekarang?”

“Bapa cik sedang dibersihkan, cik boleh tunggu sebentar di ruang menunggu”

Dr. berlalu pergi meninggalkan aku dengan perasaan yang… entah… sukar digambarkan…
Dunia terasa terhenti sejenak.. suasana sangat hening.. kosong… Dr. berusaha lebih 3jam?? Tapi call suruh datang lebihkurang sejam yang lalu….

 Keseorangan menghadapi keadaan sebegini.. mak? Adik? semua masih didaerah dan negeri lain..  Hujung tahun memang semua akan ambil cuti balik kampung tapi tahun ni aku yang balik awal, adik yang pregnant tu pun pulang bercuti untuk bersalin dari bertugas di Sarawak.

“Kak, bapa akak dah ditempatkan di bilik xx.” sambil nurse menunjukkan arah bilik.

Badan terasa melayang-layang… tidak terasa kaki melangkah.. dengan fikiran kosong.. bergerak ke arah bilik yang nurse tunjukkan..  terhenti seketika dimuka pintu …
Langsir pembahagi ruang ditarik untuk menghalang pandangan dari luar pintu… aku terus menuju ke arah langsir pembahagi itu …  bagai terhenti jantung sejurus tiba ditepi langsir, melihat sekujur tubuh berbungkus kain putih terbaring diatas katil...

Bermimpikah aku?
Baru semalam aku berbual dengan bapa..
Baru semalam kuraih dan kukucup tangan bapa....
Baru semalam ku berjanji untuk datang lagi hari ini…
dan bapa mengangguk sambil tersenyum…

TIDAKKKK!! 
Bapaku masih hidup..!
baru semalam aku berbual dengan dia..!
Masih segar senyum dan ketawa dengan aku.. tak mungkin!!
Itu pasti bukan bapaku!!

Hati terus memberontak....

Bagaimana kalau betul?
Bagaimana kalau memang bapaku?
Bagaimana?  bagaimana?

Dengan tak berdaya kugagahi tangan membuka balutan dibahagian muka… dalam hati tak putus-putus berdoa… ini bukan bapa ku… pasti bukan dia..… BUKANNN…

“Ya Allah….

Apa yang harus kulakukan sekarang?

Menangis?

Menjerit?

Meraung?

Aku tidak mampu melakukan semua itu walaupun itulah yang ingin kulakukan….
Terkedu..  kaku sambil airmata terus mengalir laju….laju…. semakin laju….


*************************************************************************

Hari ini genap setahun permergian bapa.. pergi dengan tarikh yang cantik 12.12.12 dan hari ini genap setahun 11.12.13..namun cantik yang tidak membawa makna apa-apa padaku melainkan kesedihan pada kenangan setahun lalu.

Saman kami kemukakan berdasarkan Report yang doktor/nurse tulis setiapkali selepas melakukan sebarang rawatan terhadap pesakit.  Internal Inquiry sudah kami lalui, selanjutnya External Inquiry.. pun membuktikan yang MO telah melakukan kecuaian dalam menjalankan tugas…

Diruang mata ini, selalu terbayang, wajah MO wanita melayu yang bertudung itu…
Tidak ada marah… jauh sekali berdendam… cuma rasa terkilan dihati...
Seandainya….. seandainya…… dan… seandainya….

Aku pasti beliau sudah terhukum dengan kecuaian yang beliau telah lakukan.

Berapapun saman yang kami kemukakan, nyawa bukanlah nilainya, bapa yang kami kasihi telah pergi untuk selamanya… beliau yang sangat berharap dan sangat percaya kepada kemampuan hospital, rupanya… kepercayaan itulah yang seolah-olah telah meragut harapannya...


Cuma satu harapanku , semoga ini menjadi pengajaran kepada yang terlibat supaya lebih bertanggung-jawab, bukannya sambil lewa dan membuat keputusan yang tidak tepat kerana walau seribu penyesalan, kesudahannya tidak boleh diperbaiki lagi.

No comments:

Post a Comment

Terimakasih meninggalkan jejak disini^^