بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Assalamu'alaikum
Sungguh singkat masa kita bermusafir disini, semailah apa yang boleh kita tuai disana nanti. Jangan sesekali jemu untuk terus berusaha kembali kepangkal jalan andai tersasar dari landasan. Sejauh mana pun kita tersesat dimalam hari, bintang tetap ada untuk kita jadikan panduan arah, andai masih tersesat juga, tunggulah siang datang, semua akan terang benderang mampu dilihat dengan mata namun cubalah pandang dengan mata hati, kadang mata pun boleh menipu diri. Janji Allah, keampunan sentiasa ada selagi nafas masih ditenggorokan.
Tidak mudah melawan kata hati, membenci sesuatu yang kita cintai, menghindar sesuatu yang kita sayangi, namun pilihan apa yang kita ada? masa semakin suntuk, kalau dimenangkan kata hati, punah, pilih hawa nafsu, hancur. Dunia sudah terlalu tua hampir dengan qiamat. Teringat kata-kata Imam As-Syafie "Berapa ramai manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kapannya sedang ditenun".
Tidak semua yang menggembirakan hati itu elok untuk kita kan? kadang-kadang, yang menggembirakan hati kita itupun ada derita yang tersembunyi, begitu juga tak semua yang menyakitkan hati kita itu racun, kadang-kadang disitulah letaknya bahagia yang sebenar.
Allah hadirkan seseorang dikala kita memerlukan, sama-sama bersedih, sama-sama menghuraikan apa yang keliru, sebagai petunjuk arah jalan yang benar, membantu kita menilai antara buruk dan baik. Allah berikan apa yang kita perlukan pada masa itu, pada masa kita sangat memerlukan, cuma dipinjamkan seketika untuk menyedarkan kita yang dunia ini tidaklah seperti yang kita fikirkan. Ada derita pasti ada bahagia. Ada tangis pasti ada tawa.
Dia hadir memberikan setitik rasa bahagia yang ingin kita miliki namun malangnya, tidak ditakdirkan jadi milik kita. Kuatkan hati. Yakinlah. Pasti ada hikmah disebalik semua itu. Tidak semua yang kita mahu, perlu kita jadikan kenyataan walaupun kita mungkin mampu. Kalau kasih sanggup berkorban. Bukan hanya kata-kata kosong.
Bila aku berkata yang aku sedang berusaha memperbaiki diri dan berubah, tidaklah bermaksud yang aku tidak akan terbabas dan tersilap langkah. Oleh itu, tegurlah aku dengan kasih dan bukannya dicerca, maafkan aku dan bukannya dihina, sayangi aku dan bukan dibenci, cuba fahami dan bukannya diperli, berikan arahnya dan bukan menyusahkan. Pinjamkan aku semangat untuk tetap meneruskan perjalanan ini.
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" (QS.Al-Hasyr (59):18).
Credit : Image Internet download.