Saturday 2 February 2013

Kolagen pelihara kulit anjal


Kolagen pelihara kulit anjal
Oleh Siti Zarinah Sahib / myMetro

APABILA ada wanita berusia 40-an ke atas dan masih memiliki kulit yang tegang dan anjal, pasti ramai bertanya rahsia kejelitaannya. Bagaimana dia mampu menjaga kecantikan untuk tampil cantik dan anggun walaupun sudah memasuki usia separuh abad.

Di dalam Islam, menjaga kecantikan serta berhias cantik untuk suami adalah diwajibkan. Namun, bagi wanita Muslimah, melakukan rawatan pembedahan merubah wajah adalah dilarang kerana hukumnya haram.
Menyedari kebanyakan wanita berkerjaya masa kini ramai yang mementingkan kecantikan selain mendapatkan rawatan halal, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan wanita bagi meneruskan impian mendapat­kan kulit yang cantik, anjal dan berseri iaitu menerusi produk makanan kesihatan yang banyak terdapat di pasaran.

Jika dulu ramai tidak tahu kepentingan kolagen, tetapi kini rata-rata wanita memilih makanan kesihatan berasaskan kolagen kerana dikatakan bahan ini mampu melambatkan proses penuaan selain menjadikan kulit lebih anjal dan cantik.


Di pasaran terdapat pelbagai produk minuman berasaskan vitamin C dan kolagen yang dikatakan berkesan mengembalikan keserian wajah. Bagi mereka yang malas mengambil minuman, boleh melakukan rawatan di pusat kecantikan yang menyediakan rawatan wajah berasaskan vitamin C dan kolagen.


Namun, harus diingat tidak semua rawatan di pusat kecantikan memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia terutama daripada segi peralatan serta cara menggunakannya. Kemungkinan pelanggan akan menghadapi masalah sampingan lain sekiranya dilakukan mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan estetik.

Menurut Pegawai Perubatan Estetik Pusat Kecergasan Wanita Az-Zahrah (PKW), Bandar Baru Bangi, Dr Siti Hawa Abd Karim, kolagen adalah sejenis protein yang penting untuk memelihara keremajaan dan keanjalan kulit. Kira-kira 25 hingga 35 peratus daripada jumlah keseluruhan protein di dalam badan terdiri daripada kolagen dan 80 peratus struktur kulit terbentuk darinya.

“Bahan ini berfungsi untuk mempertingkatkan penghasilan sel baru, membantu memelihara keremajaan kulit, melembutkan dan membuat kulit lebih bercahaya serta efektif menghilangkan kedutan dan mencegah proses penuaan,” katanya.

Namun, apabila usia semakin meningkat, bermula seawal 25 tahun proses
pengurangan kolagen oleh sel fibroblast akan berlaku seterusnya menyebabkan kulit menampakkan garis penuaan, berjeragat, kusam dan kurang bermaya.

“Ini ditambah faktor alam sekitar seperti debu dan kotoran, terdedah terlalu lama kepada sinaran matahari, penggunaan bahan kosmetik yang tinggi kandungan kimia, tekanan di tempat kerja serta wanita yang sering melahirkan anak, menyebabkan pengurangan penghasilan kolagen dalam, sekali gus menyumbang kepada kelesuan kulit,” katanya.

Penggunaan makanan kesihatan mengandungi kolagen dikatakan dapat melambatkan proses penuaan, namun kesannya terlalu sedikit kerana ia bergantung kepada kandungan jumlah molekul kolagen, jenis kolagen dan penyerapan oleh sistem usus. Penggunaan krim kolagen pula dikatakan kurang berkesan kerana molekul yang terkandung di dalamnya terlalu besar untuk penyerapan oleh sel kulit.

Kini terdapat kaedah terkini dalam rawatan kolagen yang diperkenalkan di Pusat Kecergasan Wanita Az-Zahrah iaitu menerusi penggunaan Tri-M Micro Needling atau suntikan merangsang kolagen baru pada wajah yang memberikan hasil dengan cepat dan berkesan.

Menurut Dr Siti Hawa, rawatan ini menggunakan sejenis alat yang mempunyai jarum halus sepanjang dua milimeter dan boleh sampai sehingga ke subdermis kulit kerana di situ terdapat sel fibroblast yang berfungsi menghasilkan kolagen.
Prosedur ini juga dipanggil Terapi Induksi Kolagen (CIT). Kelebihan prosedur ini bukan saja merangsang pembentukan sel kolagen baru, tetapi juga menyediakan laluan mikro bagi penyerapan serum yang digunakan semasa proses ini.

“Sebelum rawatan, kulit disapu sejenis krim yang membantu menjadikan kulit merasa kebas bagi mengelakkan ketidakselesaan ketika prosedur dilakukan.

“Selepas itu alat ini digerakkan ke keseluruhan wajah yang mengambil masa 20 minit. Tidak menyakitkan dan mungkin akan terasa pada bahagian kulit yang agak sensitif seperti hidung serta di kawasan dahi,” katanya.

Selepas rawatan, sebaiknya pelanggan menunggu sehing­ga seawal dua jam sebelum membersihkan wajah bagi memastikan penyerapan optimum serum. Mereka kemudian dibenarkan untuk memakai produk seperti biasa terutama krim pelembap dan pelindung cahaya matahari. Tidak digalakkan berjemur terlalu lama di bawah sinaran matahari kerana boleh mengganggu proses pembentukan kolagen.

Tambahnya, rawatan menerusi kaedah ini lebih cepat dan berkesan serta tidak mendatangkan sebarang komplikasi.

Kajian dijalankan di salah satu universiti di Korea untuk membandingkan keberkesanan penghasilan kolagen kulit muka antara CIT dan Denyutan Lampu Impuls (IPL) didapati tiada perbezaan keberkesanannya, malah CIT jauh lebih murah, tiada komplikasi dan kesan yang cepat.

“Prosedur ini sangat efektif untuk memulihkan masalah kulit seperti parut, kedutan, garis halus, masalah keguguran rambut dan pemecahan lemak. Apabila dilakukan secara berkala iaitu dua minggu sekali kesannya semakin ketara. Kulit kelihatan lebih anjal, kedutan semakin berkurangan malah menjadikannya berseri dan bercahaya. Kaedah rawatan ini adalah alternatif kepada rawatan IPL, tetapi jauh lebih murah,” katanya.

Di PKW, rawatan CIT ini dilakukan di bawah pengawasan pegawai perubatan terlatih serta dijamin kebersihan dan keselamatannya. Ini kerana peralatan digunakan menggunakan jarum pakai buang serta teknik yang steril manakala pakar terapi memiliki tauliah dalam bidang estetik. Selain itu dengan adanya rawatan daripada pakar estetik Muslimah, ia akan mendorong lebih ramai wanita Islam menjaga kecantikan demi kesejahteraan keluarga.

Selain rawatan wajah, PKW turut menyediakan rawatan pelangsingan badan menggunakan kombinasi rawatan ultrabunyi dan electroporation. Menggunakan mesin Eximia berinovasi tinggi dari Itali, rawatan ini membantu untuk menyelesaikan pelbagai ketidaksempurnaan tubuh seperti selulit, lemak bertumpu, badan menggeleber, kulit kendur, kehilangan keanjalan serta retensi air.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/04
Sumber

No comments :