Thursday, 2 January 2014

Angin Ahmar/Stroke.. bersediakah kita menghadapinya?

MIL baru balik malam tadi dari menziarahi adiknya di salah satu hospital di bandar Singa selepas 2 hari disana. Pagi-pagi semasa nak bertolak gi kerja sempat MIL berkongsi cerita dan meluahkan kebimbangan terhadap adik bongsunya itu.

"Kaki sebelah kanan tak dapat digerakkan, termasuk lengan dan mulut sedikit herot ke tepi.. bubur yang anaknya suapkan pun dimuntahkan sebab batuk, masa awal-awal kena stroke busu langsung tidak mengenali sesiapa termasuklah suami dan anak-anaknya sendiri," ujar beliau dengan sedih.

Selalu juga Nurul mendengar citer stroke ni tapi tidak ambil pusing sangat, sampailah bila terkena kepada ahli keluarga barulah membuka mata besar sikit.... *sikap tak baik ni, jangan ditiru.

Stroke terjadi akibat bekalan darah ke otak terganggu. Otak memerlukan bekalan darah yang membawa oksigen dan nutrien yang berterusan untuk berfungsi. Ada 2 jenis stroke, Stroke Iskemik berlaku apabila darah beku terbentuk di arteri utama dan menyekat bekalan darah ke otak. Stroke Iskemik boleh terjadi akibat pengumpulan kolestrol atau puing lain dalam arteri yang sekian lamanya. Stroke Hemoragik pula terjadi apabila salur darah dalam otak pecah menyebabkan pendarahan

Ketiadaan/kekurangan bekalan darah ke otak menyebabkan bahagian otak akan mula mati. Dalam keadaan inilah Stroke terjadi! Otak adalah organ kompleks yang sangat hebat yang mengawal fungsi dan keupayaan tubuh, oleh itu, kerosakan otak bakal menjejaskan semua aktiviti seseorang, kemampuan derianya, sebelah tubuh mungkin lumpuh, corak pemikiran, pertuturan dan daya ingatan tapi kesannya adalah pelbagai bergantung kepada betapa teruknya otak rosak dan bahagian dimana di otak stroke itu berlaku.


Pertubuhan Stroke Sedunia(WSO) menggariskan enam langkah mudah yang harus diamalkan:
1. Mengetahui factor risiko sendiri mengenai tekanan darah, kencing manis dan keadaan kolesterol.
2. Aktif secara fizikal dan kerap melakukan senaman.
3. Tangani masalah berat badan menerusi cara pemakanan yang sihat.
4. Kurangkan pengambilan alkohol.
5. Elakkan daripada merokok atau menghidu asap rokok orang lain.
6. Mengenali tanda amaran strok dan bagaimana bertindak menanganinya.


Jom kenali tanda awal amaran stroke, semoga kita mampu bertindak segera untuk mendapatkan bantuan perubatan, mengelakkan stroke yang mendatang atau mengurangkan kesannya.
Rasa lemah atau kebas mengejut sebelah badan. Tanda-tandanya mungkin muka yang meluyut dan air liur meleleh, rasa lemah pada lengan atau kaki. Kekaburan penglihatan, kesukaran bertutur atau memahami pertuturan, pening, kehilangan imbangan, kekeliruan, rasa mual atau muntah.


Posting ni Nurul tulis selepas membaca, merujuk dan membuat perbandingan pada sumber-sumber yang ada di internet. Nurul cuba menggunakan bahasa ringkas yang mudah difahami. Semoga beroleh sedikit manfaat. Jika ada kesalahan info, tolonglah ditegur ye :)

No comments :