Showing posts with label Keratan Berita tentang Rumpai Laut. Show all posts
Showing posts with label Keratan Berita tentang Rumpai Laut. Show all posts

Monday, 13 May 2013

Rumpai laut sumber pendapatan tambahan



LAHAD DATU 6 Feb. - Keunikan dataran lumpur Semenanjung Dent yang mempunyai terumbu karang dan pelbagai jenis rumpai laut bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negeri, tetapi turut menyumbang pendapatan tambahan kepada kira-kira 400 penduduk Kampung Sinakut di sini.


Aktiviti ternakan rumpai laut itu merupakan industri hiliran kecil-kecilan kepada keluarga nelayan itu yang dijadikan sebagai pendapatan tambahan kepada pendapatan hakiki mereka yang bergantung kepada hasil laut.


Sehubungan itu, mereka amat mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang giat memulihara alam sekitar kawasan dataran lumpur semenanjung berkenaan.


Seorang penduduk, Jimi Uddin berkata, sebagai nelayan, selain meraih pendapatan harian dengan menangkap ikan mereka kini giat menceburi ternakan rumpai laut.
''Golongan nelayan banyak bergantung kepada sumber laut, selain itu, kami juga mengusahakan ternakan rumpai laut sebagai pendapatan tambahan.



"Walaupun pendapatan yang diperoleh menerusi ternakan rumpai laut tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menambah pendapatan nelayan yang menjalankan projek itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Seorang lagi penduduk, Paklah Samad berkata, pada masa ini, golongan di kampung itu tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pendapatan menangkap ikan yang ada kalanya tidak menentu terutama pada musim tengkujuh.


''Sekurang-kurangnya kami mempunyai pilihan. Jika tidak turun ke laut semasa musim tengkujuh kami boleh mengusahakan ternakan rumpai laut.
''Pencemaran alam sekitar yang berlaku bukan sahaja akan mengakibatkan nelayan kehilangan punca mata pencarian utama tetapi turut menjejaskan hidupan laut," katanya.
Sumber
Sumber Photo : Google

Friday, 3 May 2013

Rahsia rumpai laut

2013/04/15 - 07:05:06 AM Oleh Nor Hatina Shuib
Rahsia rumpai laut

Berita Harian ~ Rumpai laut yang dianggap 'ibu kolegen' mentah kini semakin popular dan ramai khususnya wanita mengambilnya untuk dijadikan makanan tambahan bagi menjaga kesihatan serta kecantikan.
Khazanah laut pelbagai warna seperti hijau, merah, hijau biru dan perang ini boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan.

Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta karotein serta protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit," Dr Muta Harah Zakaria, Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, UPM.

Penggunaan ibu kolegen spesis Eucheuma Cottonii dan Euchuema Kappayachus atau nama tempatannya agar-agar kini dipelbagaikan fungsinya dalam bidang kecantikan dan boleh didapati daripada rumpai mentah, sabun dan pil melalui ekstrak rumpai.

Harga rumpai laut yang banyak tumbuh melatari laut di Sabah ini begitu murah dan mempunyai gred tersendiri. Dijual dengan harga serendah RM5 untuk seratus gram gred AA sehingga mencecah RM20 untuk kuantiti yang sama bagi gred AAA. Produk berasaskan rumpai laut ini juga banyak dipasarkan menerusi jualan langsung dengan pelbagai jenama.

Khasiatnya dikatakan lebih berkali ganda daripada menghirup sup ikan Yu atau sup sarang burung yang harganya lebih mahal membuatkan ramai wanita memilih tumbuhan dasar laut itu.

Menjamin kecantikan?
Persoalannya adakah rumpai laut jenis itu mengandungi kolegen untuk mampu menjadi ejen anti penuaan, menambah keserian, keanjalan dan kemulusan kulit? Adakah ia selamat digunakan? Adakah ia bebas daripada keracunan dan mendatangkan kesan jangka panjang kepada kulit dan kesihatan kepada pengamalnya?

Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muta Harah Zakaria, ketika diminta mengulas mengenai fenomena pengambilan rumpai laut, menegaskan makanan atau minuman daripada rumpai laut tidak membahayakan kerana ia mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein tinggi yang membantu mengekalkan kolagen di dalam kulit.

Katanya, bahan berkenaan digunakan secara meluas dalam pembuatan kosmetik dan digunakan banyak kepentingannya dalam bidang perubatan.

“Rumpai laut seperti Laminaria, Fucus, Sargassum dan Turbinaria sudah digunakan sejak berkurun dulu untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, cirit-birit dan masalah usus kecil.

“Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolesterol plasma,” katanya dihubungi, baru-baru ini.

Pelbagai khasiat

Ditanya benarkan rumpai laut mengandungi kolegen, beliau berkata sebenarnya kolagen adalah struktur protein yang berfungsi sebagai pelekat dalam badan.

Lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen memberikan struktur kepada badan, melindungi, menyokong tisu lembut dan menyambungkannya dengan tulang badan.

“Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit. Misalnya rumpai laut hijau Caulerpa racemosa mengandungi protein yang tinggi iaitu 11.16 peratus berbanding kubis bunga 1.8 peratus saja,” katanya.

Rumpai laut jenis merah (misalnya Kappaphycus sp) mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia adalah sumber bahan mentah untuk pengekstrakan karagenan iaitu kandungan bahan yang ada dalam rumpai laut yang dianggap sebagai kolagen oleh orang ramai.

Secara kimia, karagenan menyerupai agar-agar tetapi mempunyai kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel.
Jelasnya, kandungan karagenan dalam rumpai laut yang sudah di ekstrak membantu mengekalkan keanjalan kulit dan kerana orang ramai menganggap tumbuhan itu membekalkan kolegen.

Kajian lain

Berdasarkan pencarian hasil kajian terhadap kebaikan rumpai laut jelas menunjukkan bahan berkenaan mampu bertindak secara positif dalam membantu mencantikkan kulit, antaranya:

* Laman berita CBS New York, melaporkan kajian baru mereka menjelaskan rumpai laut mungkin benar-benar berfungsi membantu masalah kesihatan dan memperbaiki kulit. Beberapa pandangan umum diambil daripada pakar yang menyarankan pengambilan rumpai laut organik dan bukan yang sudah dituai kerana dikhuatiri tidak selamat untuk dimakan.

* Kaunselor Kesihatan Holistik New York, Andre Beaman, berkata rumpai laut mengandungi vitamin dan mineral.

“Saya rasa ramai dan lebih ramai orang Amerika mula makan tumbuhan ini dan menemui khasiatnya. Rumpai jenis Nori antara yang tumbuhan laut paling popular dengan warna hijau dan hitam yang membalut sekeliling sushi,” katanya.

* Pemilik syarikat produk kecantikan rumpai laut New York, Lydia Sarfati, menerangkan kepada CBS rumpai laut mampu menyahtoksik dan mencantikkan kulit tanpa sebarang mudarat pada kulit.

* Pakar Dermatologi New York, Dr Jebra Jaliman, berkata rumpai laut yang melatari laut mempunyai vitamin yang sangat baik dan antioksidan yang mampu memerangi penyakit ekszema dan rosacea. Rumpai laut mempunyai banyak vitamin B, E dan C, selain mampu mengatasi masalah keradangan kulit.

* Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Beth Israel, berkata barisan penyelidik berharap tumbuhan itu menjadi bahan berkesan menangani penyakit jantung dan arthritis.

“Kajian demi kajian dilakukan untuk melihat sama ada rumpai laut benar-benar memberi kesan yang boleh dibuktikan secara saintifik,” katanya.

INFO: Rumpai laut
* Industri rumpai laut dijangka berkembang apabila ia turut diperluaskan sebagai bahan tambahan dalam pelbagai produk kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik.
* 150,000 tan metrik rumpai laut dikeluarkan dengan nilai RM1.45 bilion menjelang tahun 2020.
* Sabah pengeluar rumpai laut di Malaysia

INFO: Khasiat rumpai laut untuk kecantikan dan kesihatan

Kesihatan
• Terkenal sebagai ejen kecantikan kulit semula jadi.
• Menjadikan kulit lebih putih dan tegang.
• Melancarkan kitaran darah.
• Melicin dan menegangkan kulit dan payudara ( anti penuaan)
• Melambatkan proses penuaan dan melangsingkan badan.
• Mengekalkan kelembapan dan menganjalkan kulit.
• Menaikkan tekstur kulit dan seri wajah.
• Mengurangkan pembentukkan selulit.
• Menguatkan akar rambut dan menjadikan rambut sihat dan bersinar

Kecantikan
• Menambah baik dan meningkatkan tahap kesihatan sendi tulang.
• Meningkatkan nafsu dan daya keintiman
• Iodine yang ada di dalamnya mampu memperbaiki fungsi kelenjar thyroid sekaligus mencegah masalah Goiter iaitu kelenjar Thyroid membengkak.
• Membantu mengurangkan kolestorel dalam badan.
• Membantu dan merawat penyakit gastrik.

Keburukan
* Jangan mengambil terlalu berlebihan kerana rumpai laut mengandungi iodin yang boleh menyebabkan keracunan, sakit perut dan mampu menghakis perut.
Sumber

Monday, 1 April 2013

Kembalikan keanjalan kulit

MyMetro Artikel ini disiarkan pada : 2010/12/08



KIRA-KIRA 70 peratus hingga 80 peratus komposisi protein dalam kulit, tulang, sendi, otot, rambut, kuku, rawan dan saluran darah diperbuat daripada kolagen.

Oleh itu, kolagen dianggap sebagai pati pemulih bagi kulit dan tulang. Bagaimanapun, apabila tubuh manusia mencapai umur 20 tahun, kolagen dalam tubuh akan berkurangan secara semula jadi lalu menyebabkan kulit nampak berumur, kasar, kusam serta berpigmen.

Masyarakat hari ini baik lelaki atau wanita memang prihatin soal kesihatan dan kecantikan.

Antara rahsia kulit terkini untuk kelihatan muda adalah pengenalan Avalon, kolagen ikan Jepun diperkenalkan Hi-Beau.

Menariknya, pemakanan tambahan untuk kesihatan dan kecantikan itu mudah diambil terus daripada bungkusan atau dicampur ke dalam minuman.


Kolagen ikan Jepun Avalon itu melalui proses kajian serta dibangunkan kepakaran Jepun yang menggabungkan bahan paling premium.

Ia diperbuat daripada kolagen ikan Jepun dengan berat molekul kurang daripada 3,000 Dalton iaitu satu rumusan yang direka khusus untuk mudah diserap tubuh manusia.


Kolagen terbabit membantu untuk memulih, menambah dan meningkatkan khasiat diperlukan badan dengan cepat dan selamat.

Ada tiga perisa buah-buahan lazat disediakan untuk rangkaian produk kolagen terbabit iaitu lemon, mangga dan beri biru bagi membantu menghasilkan kulit yang lebih anjal, muda serta sentiasa dalam keadaan baik.


Ia juga kaya dengan vitamin C, bahan antioksidan dan ciri antipenuaan. Untuk mereka yang mahu menjaga berat badan atau penghidap diabetes, ia juga sesuai kerana tidak mempunyai tambahan gula.


Produk ini turut menawarkan kemudahan kepada mereka yang sibuk. Ia didatangkan dalam bungkusan kecil 2,500 miligram yang boleh dimuatkan dalam beg tangan atau poket supaya boleh diambil pada bila-bila masa.


Diperkaya dengan bahan kompleks probiotik, kolagen ikan Jepun Avalon menjadi produk pertama di pasaran yang mengandungi gabungan bakteria baik yang berfungsi mengimbangi mikroflora usus dan membina semula sistem perut yang sihat.


Ia boleh didapati pada harga RM118 untuk pek 30 bungkusan. Produk ini dijual secara eksklusif di semua rangkaian kedai Watsons di seluruh negara mulai pertengahan November 2010.
Sumber

Monday, 11 March 2013

Rumusan Baru, Lunatots perkenal produk campuran kolagen galak susu ibu


(Harian Metro,31 Oktober 2012)

Lunaworks Sdn Bhd (www.lunatots.com), syarikat Bumiputera yang memberi tumpuan kepada penjualan peroduk ibu dan bayi yang lebih dikenali dengan jenama Lunatots akan memperkenalkan minuman bagi menggalakkan penghasilan susu ibu dengan campuran kolagen menjelang Disember ini.
Pengarah Urusannya, Siti Nur Suraya Mohamed Ali berkata, produk yang diberi nama Chocolate Drink With Fenugreek itu sudah berada di pasaran sejak Jun lalu dan ia mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelanggan.

"Minuman berkenaan sudah diperkenalkan sebelum ini namun, ia hanya mengandungi halba yang berfungsi menggalakkan penghasilan susu ibu.

"Kami akan memperkenalkan minuman sama dengan tambahan kolagen yang bukan saja membantu golongan ibu mendapat susu lebih banyak, tetapi pada masa sama mencantikkan kulit,"katanya kepada Bisnes Metro di Kuala Lumpur.

Menurutnya, produk berkenaan tidak hanya terhad untuk mereka yang mengamalkan penyusuan badan, sebaliknya boleh diamalkan semua wanita.

"Kandungan kolagen marin dalam minuman itu dipercayai dapat mencantikkan kulit serta membantu menyembuhkan luka selepas bersalin, malah ia tidak hanya dihasilkan untuk wanita selepas bersalin sebaliknya boleh juga diamalkan mana-mana wanita yang mahukan kulit lebih cantik,"katanya.
Menurutnya, daripada ujian, ia terbukti membantu memperbanyakkan susu ibu dan yakin produk itu dapat membantu wanita yang mengalami masalah kekurangan susu badan.
"Ia secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih ramai wanita menyusu badan walaupun selepas tempoh enam bulan dan dapat membantu wanita bekerja yang ada kalanya tidak mempunyai masa untuk mengepam susu mereka,"katanya.
Sumber

Sunday, 27 January 2013

Formula kekalkan kolagen


FAMILI

2013/01/07 - 07:15:30 AM

Produk antipenuaan InnerShine
Kolagen sejenis protein penting untuk memelihara keremajaan atau memberikan kekuatan dan keanjalan kepada kulit. Kira-kira 25 hingga 35 peratus jumlah keseluruhan protein di dalam badan terdiri daripada kolagen dan 80 peratus struktur kulit terbentuk daripadanya.

Bagaimanapun, penuaan merosakkan kolagen dan seterusnya memberikan kesan pada kulit. Semakin usia meningkat akan mengurangkan kandungan kolagen kerana keupayaan kulit untuk menghasilkan kolagen baru semakin berkurangan. Proses pengurangan kolagen dikatakan bermula seawal usia 25 tahun.
Faktor alam sekitar seperti sinaran ultra ungu (UV), gaya hidup seperti tekanan kerja dan tabiat merokok serta penggunaan kosmetik tinggi kandungan kimia mempercepatkan lagi kehilangan kolagen.

Jelas garis penuaan 

Pengurangan kolagen oleh sel fibroblast akan berlaku seterusnya menyebabkan kulit menampakkan garis penuaan, berjeragat, kusam dan kurang bermaya.

Pengambilan makanan dan minuman kesihatan selain suntikan dan krim mengandungi kolagen dipercayai dapat melambatkan proses penuaan.

Justeru, InnerShine, memperkenalkan anti penuaan RubyCollagen Essence yang dilancarkan, di ibu negara baru-baru ini.
Penemuan minuman kolagen baru dengan formula hak cipta RubySignature™ dikatakan, membantu melambatkan proses penuaan. Minuman tambahan anti-penuaan ini mengandungi formula unik dengan melancarkan tiga tindakan penting iaitu - mengekalkan, melindungi dan menyokong kesihatan kulit supaya kelihatan muda selalu.

Berbeza dengan minuman kolagen lain, formulanya mengandungi adunan mikro-kolagen berkualiti yang mudah untuk diserap daripada ikan, dan astaxanthin, ekstrak mikro-alga khas dari Sweden.

Pulih keanjalan kulit 

Saintis Kanan Cerebos Pacific Limited Dr. Lua Bee Leng, berkata innerShine RubyCollagen Essence membekalkan kolagen kepada kulit untuk memulihkan ketegangan dan keanjalannya dengan lebih efektif.

Katanya, kehadiran astaxanthin berfungsi sebagai pelindung semula jadi dapat melindungi kulit daripada UV yang boleh merosakkan kolagen. Astaxanthin juga menyokong peredaran mikro untuk menyalurkan nutrien kepada sel kulit dengan berkesan, mencegah kemerosotan kolagen, protein matriks lain, memberi fleksibiliti dan kekuatan kulit.

“100 peratus diperbuat daripada bahan semula jadi dan disahkan halal tanpa pengawet, pewarna atau gula. Diadun dengan jus delima asli, minuman lazat dan berkhasiat,” katanya.

Pada majlis pelancaran produk berkenaan, pelakon dan model terkemuka, Carmen Soo, diumumkan sebagai wajah baru untuk kempen 360 darjah pemasaran termasuk iklan televisyen dan cetak.

Harga produk RM142.90 untuk 14 botol x 50ml. 

INFO: Tanda penuaan pada kulit 

1. Muncul bintik hitam:
Berlaku pada kulit yang mengalami penuaan pra matang, terdedah kepada matahari. Muncul di bahagian lengan, punggung, dahi, tangan dan bahu, selain bintik hitam dan pigmen.

2. Tekstur kulit kasar:
Kerap terdedah kepada matahari, kolagen dan elastin kulit akan rosak, kering dan kasar.

3. Pori-pori membesar:
Seiring pertambahan usia, pori-pori tumbuh lebih besar kerana timbunan sel kulit mati di sekitarnya. Ia dapat dikurangkan dengan melakukan pengelupasan kulit secara konsisten.

4. Kulit berkedut dan kendur:
Paparan terhadap radikal bebas boleh menyebabkan kerosakan DNA kulit dalam membran sel. Akibatnya, kolagen kulit dan elastin merosot dari semasa ke semasa sehingga kulit mula merosot dan kehilangan elastisiti.

Panduan: Cara melambatkan proses penuaan:

Kurangkan pendedahan secara langsung terhadap sinar matahari.
* Guna payung atau topi boleh digunakan.

Hindarkan persekitaran yang tercemar.
* Udara kotor, asap kenderaan, debu dan sebagainya. Jika kulit kering, banyak minum air putih dan sapu pelembap kulit.

Sentiasa berfikiran positif.
* Jangan mengerutkan dahi, marah atau bersikap emosional, tidur mencukupi dan sebaiknya tidak gunakan bantal.

Amalkan gaya hidup sihat.
* Ambil makanan seimbang, senaman, bersenam, tidur yang cukup. Banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana kaya dengan antioksidan.

Sumber