Saturday, 26 January 2013

Kaji rumpai laut

2010/09/08 - 08:30:01 AM Oleh Sazarina Shahrim


NOH (dua dari kanan) menyaksikan majlis perjanjian persefahaman empat intitusi pengajian tinggi dan Jabatan Perikanan, baru-baru ini.
Kerajaan tubuh institut penyelidikan bangunkan industri

PENUBUHAN Institut Penyelidikan Rumpai Laut Negara tahun depan dijangka memberi peluang institusi pengajian tinggi (IPT) meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) masing-masing dalam usaha mengukuhkan industri berkaitan dalam usaha memaksimumkan pengeluarannya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata penubuhan itu dijangka menggalakkan penyelidikan yang sekali gus meningkatkan pembangunan teknologi sepanjang rantaian nilai pengeluaran produk berkenaan.

Industri rumpai laut negara kata beliau, memerlukan usaha sama pintar antara universiti dan industri supaya ia dapat dijana secara lestari.

Setakat ini, beliau berkata, industri itu hanya bertumpu di Sabah dan pengeluarannya dilaksanakan secara tradisional sedangkan potensinya sangat besar.

“Justeru, penubuhan institut ini menguatkan pembangunan teknologi rumpai laut sekali gus memperluaskan kawasan industri ini di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama Penyelidikan dan Pembangunan Rumpai Laut antara Jabatan Perikanan dan empat IPT.

IPT berkenaan ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Hadir sama, Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abd Razak, Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS, Prof Dr Rosnah Ismail dan TNC, UM, Prof Datuk Dr Moh Jamil Maah.

Noh berkata, pihaknya akan menggembleng kepakaran institut penyelidikan kementerian dan bekerjasama dengan IPTA melalui program kerjasama R&D serta pertukaran kepakaran dalam pelbagai bidang kajian berkaitan.

Katanya, kementerian juga sudah mengenalpasti kawasan perairan pantai yang sesuai dijadikan Zon Industri Akuakultur Rumpai Laut bagi memastikan potensi sumber yang ada dimajukan dengan projek pengkulturan secara terancang dengan sokongan infrastruktur kerajaan.

Beliau berkata, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk di Sarawak dan Semenanjung dalam usaha meningkatkan pengeluarannya yang mempunyai permintaan tinggi.

“Kita mempunyai 20,000 hektar kawasan perairan di Sabah untuk industri akuakultur rumpai laut dan kini kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan seperti Miri, Sarawak, Langkawi, Pulau Pangkor dan Johor.

“Industri ini akan diperluaskan di seluruh negara dan institut itu kelak akan membolehkan kita menghasilkan rumpai laut berkualiti,” katanya.

Sumber
Post a Comment