PROF DR SUHAILA menunjukkan estrak rumpai laut (cardio mate) dan kapsul rumpai laut. |
Penyelidik UPM hasil KardioMate atasi masalah kesihatan
SERDANG: Selepas penyelidikan selama sembilan tahun dengan geran berjumlah RM500,000, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan produk alternatif kepada garam.
Dinamakan KardioMate yang dihasilkan daripada rumpai laut dan darat, ia didapati memberi manfaat kesihatan kepada pesakit kardiovaskular (CVD).
KardioMate juga sesuai untuk semua pengguna berusia empat tahun ke atas, terutama bagi penghidap tekanan darah tinggi serta masalah kesihatan lain seperti obesiti, diabetes, kanser, tiroid dan kolestrol tinggi.
Penyelidik Institut Biosains, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed, berkata KardioMate mempunyai ciri antioksida yang tinggi, kandungan natrium yang rendah serta kaya dengan serat dan mineral penting seperti magnesium, kalsium, kalium, iodin, zink, kuprum dan selium.
“Menerusi kajian terhadap haiwan di makmal, KardioMate didapati mengawal tekanan darah yang berlebihan, membantu mengurangkan berat badan serta melindungi mata, hati, jantung, ginjal, tulang, kulit, otak dan saluran darah.
“Selain itu, ujian makmal juga menunjukkan ia berjaya membunuh kanser sel manusia terutama kanser payudara,” katanya pada sidang media Putra Cipta di UPM, semalam. Hadir sama Pengarah Institut Biosains UPM, Prof Dr Fatimah Yusof.
Dr Suhaila berkata, KardioMate mempunyai aktiviti antimikrobial yang membantu melambatkan kerosakan makanan, pada masa sama merencatkan kenaikan gula dalam darah serta mengawal tekanan darah berlebihan.
“Berbanding garam biasa, KardioMate memiliki ciri antioksida yang baik untuk kesihatan dan kesegaran makanan. Selain garam alternatif, ia boleh dijadikan sebagai perasa masakan, sos, snek atau dicampur dalam aiskrim dan minuman.
“Serat rumpai laut ini juga boleh dijadikan bahan kosmetik dan krim topikal memandangkan antibodi yang dihasilkannya sama seperti gamat yang kini luas dikomersilkan.
“Saya berharap ada pihak industri akan bekerjasama dengan UPM Holdings mengkomersilkan rumpai laut ini. Saya mencadangkan ia dijual pada harga RM8 bagi setiap botol 80 gram. Walaupun agak mahal berbanding garam biasa, KardioMate sesuai untuk golongan berisiko,” katanya.
Sumber
Artikel yang berkaitan: mstar , Utusan
No comments :
Post a Comment